Selasa, 7 Mei 2013

SEJARAH IKHWAN MUSLIMOON





Al-syahid Imam Hassan Al-Banna

MUQADDIMAH :

Jatuhnya pemerintahan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924 merupakan satu tamparan hebat terhadap setiap individu Muslim yang cinta kepada agamaNya. Sejak dari saat itu, Islam telah diinjak-injak dan dihina serendah-rendahnya. Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan sesama kuffar la’natullah sebagaimana makanan dibahagi-bahagikan, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam akhir zaman seumpama makanan yang dikerumuni oleh musuh-musuh. Muslim yang berjuang di bawah naungan jihad telah diperangi habis-habisan, sehingga umat Islam yang tinggal hanyalah Muslim yang berkulitkan Islam. Pemikiran dan budaya Barat diagung-agungkan. Al-Qur’an dan as-Sunnah dilekeh-lekehkan. Pemerintahan negara-negara Islam pula diwariskan oleh penjajah kuffar kepada anak-anak didik mereka yang telah kosong roh Islamnya dan boleh diharap untuk meneruskan dasar-dasar penjajah. Hasilnya, tiada satu inci muka bumi Allah SWT pun sekarang ini yang terlaksana di dalamnya syari’at Allah SWT yang Maha Sempurna, yang tidak perlu diragukan lagi sama ada sesuai atau tidak dengan keadaan semasa.

Namun Allah SWT tetap menepati janjiNya yang Maha Benar. Allah SWT telah menjanjikan menerusi lidah RasulNya, akan muncul setiap 100 tahun seorang Mujaddid yang akan menghidupkan kembali ajaranNya dan menyalakan kembali api perjuangan para Nabi dan Rasul serta para Sahabat. Umat Islam tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kebangkitan para pemuda-pemudi Islam yang menggelarkan diri mereka Ikhwanul Muslimin, dipimpin oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna (masyhur dengan susunan Ma’thurat yang disusun oleh beliau) pada tahun 1928 di Mesir. Al-Banna telah menyediakan satu asas Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah) yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan Rasulullah SAW, yang kini menjadi contoh kepada Gerakan Islam hampir di 70 negara di seluruh dunia pada hari ini. Meskipun umat Islam hari ini dipisah-pisahkan oleh sempadan negara akibat daripada semangat nasionalisme yang ditiup-tiupkan oleh penjajah kuffar, namun Gerakan Islam tetap mara dan utuh di setiap negara Islam dalam mendepani cabaran dan tekanan pemerintah dari segenap sudut. Hanya nama yang memisahkan antara satu Gerakan Islam dengan Gerakan Islam yang lain.

Al-Banna merupakan seorang mujaddid, pejuang, penda’wah, murabbi dan pemimpin yang akhirnya menemui syahid di jalan Allah… Kini dunia Islam hanya menunggu munculnya mujaddid baru abad ke 21, yang diharapkan mempunyai semangat Salahuddin al-Ayyubi, bagi memimpin umat Islam mendapatkan kembali kota suci Baitul Muqaddis, yang kini dikuasai Yahudi la’natullah.

LATAR BELAKANG

Al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di Mahmudiah, dekat Iskandariah, Mesir. Ayahnya, Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Banna, merupakan lulusan Azhar yang bekerja sebagai tukang jam, juga seorang imam dan guru al-Qur’an di masjid serta telah menghasilkan beberapa buku berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai anak sulung, al-Banna telah dididik dengan suasana keIslaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya.


PENDIDIKAN AWAL

Semasa al-Banna kecil, beliau telah diharapkan oleh ayahnya agar menjadi seorang hafiz al-Quran. Al-Banna telah dihantar kepada seorang guru bernama Syaikh Muhammad Zahran yang mempunyai ilmu yang luas dan dalam, bertaqwa serta sangat berwibawa. Cara didikan Syeikh Zahran adalah sangat keras, sehinggakan para pelajarnya, termasuk al-Banna yang masih kecil merasa terbeban dengan hafalan, membaca dan menelaah kitab-kitab, yang faedahnya hanya dapat dirasakan oleh al-Banna setelah beliau dewasa.

Setelah Syeikh Zahran semakin sibuk dengan da’wahnya, sehingga tiada kesempatan untuk terus menjadi guru di sekolah ad-Diniyah ar-Rasyad, ayah al-Banna memindahkan al-Banna ke Madrasah Idadiyah, sambil tetap menyuruh al-Banna menghafal al-Quran di rumah. Pada ketika itu, al-Banna sudah pun menghafal separuh al-Quran.

Minat dan keaktifan Hasan Al-Banna dalam berorganisasi sudah kelihatan sejak dia belajar di madrasah tersebut. Di madrasah itu, al-Banna membentuk organisasi Persatuan Akhlak Mulia (PAM), atas cadangan salah seorang gurunya, yang bertujuan untuk menegakkan akhlak mulia di lingkungan madrasah. Undang-undang pun dibuat oleh mereka sendiri, seperti siapa yang memaki saudaranya didenda 1 millim (mata wang terkecil Mesir), yang memaki ayahnya didenda 2 millim, memaki ibunya, mencela agama, bertengkar, dan sebagainya. Semua yang bertentangan dengan akhlaq mulia, dikenakan denda. Denda akan dilipatgandakan, sekiranya yang melanggar adalah anggota pimpinan organisasi, yang diketuai oleh al-Banna. Wang hasil denda dimanfaatkan untuk kegiatan sosial.


Tidak puas dengan pertubuhan yang hanya mengendalikan pelajar, al-Banna dan teman-temannya membuat organisasi asosiasi keislaman dengan nama Gerakan Anti Maksiat (GAM) untuk memberi teguran melalui surat kepada sesiapa sahaja yang melakukan maksiat. Masing-masing anggota organisasi mengawasi anggota masyarakat, yang terdiri daripada masyarakat biasa, pedagang, hingga syaikh-syaikh (ulama) sekalipun. Bila ada seseorang yang melakukan kesalahan/dosa (perbuatan yg bertentangan dengan syariat Islam) akan dikirimkan surat peringatan, yang dihantarkan secara diam-diam oleh anggota GAM. Tetapi aktiviti rahsia GAM terbongkar oleh seorang pemilik kafe, yang berjaya menangkap pembawa surat teguran yang berisi peringatan atas kesalahan pemilik kafe yang membawa penari wanita di kafenya.Ketika berusia 13 tahun, Hasan Al-Banna melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Muallimin al-Awwaliyah di Damanhur walaupun sebenarnya dia belum memenuhi syarat umur minimum 14 tahun. Hafalan al-Qurannya pun belum 100%, tetapi karena mudir madrasahnya melihat kecerdasan al-Banna, beliau memberi pengecualian. Sejak usia muda ini, Hasan Al-Banna mulai tertarik dengan gerakan sufi yang saat itu marak di Mesir.

Selain mengikuti zikir tasawuf, Hasan Al-Banna pun aktif mengikuti halaqoh yang diadakan oleh syaikh-syaikh pemimpin sufi, terutamanya syeikh-syeikh dari tarikat Hashofiyah. Beliau sangat mengagumi tokoh utama dari tariqat ini, yaitu Syaikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syaikh Hasanain al-Hashafi. Penglibatan al-Banna dalam aktiviti kesufian inilah yang telah membuatkan beliau menyedari betapa perlunya pemupukan sahsiah dan akhlak individu untuk menjadi prasyarat kepada proses pengIslaman masyarakat.Walaupun Hasan Al-Banna mengikuti gerakan sufi, tapi beliau tidak 100% menyetujui cara hidup orang-orang sufi yang berlebihan, seperti beruzlah (mengasingkan diri) dari kehidupan masyarakat umum, untuk untuk memperolehi kenikmatan beribadah untuk peribadi semata-mata. Al-Banna berpendapat bahwa uzlah adalah perlu sesekali waktu, harus tidak berlebihan, tak boleh melebihi garis syara’, karena uzlah seperti itu merupakan gudang segala kebajikan.Al-Banna bukan sahaja hafiz al-Quran, malah menghafal 18.000 bait puisi Arab dan juga ribuan matan hadis.


BELAJAR DI KAHERAH DAN KESEDARAN REFORMASI

Pada 1923, pada usia 16, al-Banna telah memasuki Fakulti Darul ‘Ulum, Azhar yang masyhur di Kaherah. Di Azhar,apabila teman-temannya memakai pakaian Mesir (topi khas yg bernama tharbus), al-Banna memakai serban Arab, karena ingin mencontohi Rasululloh SAW.Selama 4 tahun di Kaherah, beliau telah terdedah kepada hiruk pikuk politik di Kaherah pada awal 1920an, dan meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan fahaman sekular dan Barat yang telah menembusi masyarakat Islam, hingga ke akar umbi. Inilah yang menyebabkan al-Banna begitu tersentuh dengan keadaan pemuda-pemudi Islam yang hanyut daripada ajaran Islam.

Al-Banna meyakini perang untuk memenangi hati dan pemikiran pemuda-pemudi adalah begitu penting untuk menyelamatkan Islam daripada serangan hebat Barat.Semasa belajar di Kaherah, al-Banna menyelami hasil penulisan reformis Islam yang awal, termasuklah Muhammad ‘Abduh (1849-1905), yang merupakan guru ayahnya semasa di Azhar. Tetapi yang paling banyak mempengaruhi pemikiran al-Banna merupakan murid ‘Abduh, iaitu Rashid Rida (1965-1935). Al-Banna merupakan pembaca tetap al-Manar, majalah yang diterbitkan oleh Rida di Kaherah dari 1898 hinggalah kematiannya pada 1935. Al-Banna berkongsi pendapat dengan Rida mengenai merosotnya tamadun Islam berbanding dengan Barat. Al-Banna juga percaya bahawa fenomena ini hanya boleh diterbalikkan dengan hanya kembali kepada ajaran Islam yang sejati, bebas daripada segala kekotoran yang melemahkan kekuatan mesej Islam yang sebenar.


MENGAJAR DI ISMA'ILIYYAH

Selepas tamat belajar di Darul ‘Ulum pada 1927, berusia 21, al-Banna telah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyyah. Pada masa itu, Isma’iliyyah merupakan pusat pemerintahan Canal Zone dan menjadi ibu pejabat Suez Canal Company (SCC). Ia menempatkan kem tentera dan kediaman bagi pekerja Barat yang mana menjadikan pekerja dan penduduk Mesir di situ sebagai kelas kedua, iaitu menjadi buruh kasar di perusahaan-perusahaan Eropah itu. Kehidupan agama Islam yang dianut penduduk Ismailia pun terumbang-ambing dalam pertentangan khilafiah antara pelbagai kelompok tasawuf.Tugas al-Banna yang pertama ialah meningkat kesedaran dan penyatuan aqidah di kalangan masyarakat Ismai’iliyyah. Al-Banna melihat kehadiran kuffar ke Isma’iliyyah sebagai pendudukan tentera, pengeksploitasian ekonomi, pencemaran budaya dan kehilangan maruah.

Ini meningkatkan semangatnya untuk mengusir British daripada Mesir, dan umumnya, pengaruh Barat.Daripada saat al-Banna tiba di Isma’iliyyah, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti masyarakat. Al-Banna berusaha untuk merapatkan diri dengan orang-orang penting di bandar tersebut sambil bergaul mesra dengan seberapa banyak masyarakat umum yang boleh. Al-Banna mengadakan kelas malam untuk ibubapa pelajar dan mengadakan perbincangan yang tidak formal di masjid, kedai kopi, kelab dan rumah persendirian. Mesej asasnya ialah Mesir telah kehilangan rohnya, ia telah menjadi orang bawahan dari segi politiknya dan ekonomi yang terlalu bergantung pada orang lain, akibat daripada melencong dari jalan yang ditentukan oleh Tuhan.

Ubat bagi merosotnya kekuatan negara dan masyarakat hanyalah dengan penekanan kepada Islam sebagai cara hidup.Salah satu kelainan yang dilakukan oleh aa-Banna ialah beliau memulai dakwahnya bukan di masjid kerana takut disalahertikan oleh masyarakat Isma’iliyyah sebagai gerakan tasawuf baru, tetapi di kedai kopi! Mengapa ia memilih kedai kopi? Alasan al-Banna kepada ikhwannya yang kurang setuju dengan cara yang ditempuhnya itu adalah : di kedai kopi, orang-orang sedang rileks dari kesibukan hariannya, mereka "fresh" untuk mendengar nasihat orang lain, sehingga sangat sesuai kalau berdakwah kepada mereka pada saat yang sangat tepat itu.

Pada permulaannya, sudah pasti pemilik kafe merasa terganggu, para pengunjung kedai kopi pun merasa hairan. Tetapi oleh kerana al-Banna menyampaikan dakwahnya tidak pernah melebihi 15 minit, pada hari-hari berikutnya para pemilik kafe meminta al-Banna supaya datang lagi, memberikan siraman rohani kepada para pengunjung kedai. Dalam 1 hari, tak kurang dari 10 kedai dikunjungi al-Banna secara bergilir-gilir, padahal jarak antara kedai adalah berjauhan.


LAHIRNYA IKHWANUL MUSLIMIN

Pada Mac 1928, ada 6 ikhwan - yang mendapat pengaruh dari ceramah-ceramah al-Banna yg bermula di kedai kopi, yang kemudian dibawa ke musholla untuk dibimbing secara intensif - mengunjungi al-Banna, mengutarakan kesedihan hati mereka melihat perlaksanaan syari’at Islam di sekitar mereka. Bahkan mereka merasa sudah bosan melihat umat Islam terhina dan terbelenggu oleh penjajah Eropah. Al-Banna tersentuh jiwanya, dan akhirnya terjadi bai'at antara mereka bahawa mereka akan hidup bersaudara, beramal untuk Islam dan akan berjihad di jalan Islam. "Apa nama kumpulan kita ini?" tanya salah seorang di antara 6 orang ikhwan tersebut. Al-Banna menjawab: "Kita adalah saudara-saudara kandung yang berkhidmat kepada Islam. Jadi, kita ini adalah IKHWANUL MUSLIMIN (yang erti sebenarnya: saudara-saudara yang sama-sama muslim)." Itulah sejarah terbentuknya Ikhwanul Muslimin, yang lahir tanpa perencanaan. Ikhwan pada mulanya bertujuan untuk meningkat sahsiah individu dan terlibat dalam aktiviti kebajikan.Setelah itu, al-Banna mendirikan Darul Ikhwan, dari wang yang mereka kumpulkan sendiri, iaitu dari gaji mereka yang sangat sedikit untuk ukuran saat itu. Bahkan ada salah seorang ikhwan yang harus menjual motosikalnya, karena komitmennya untuk pembangunan itu. Ikhwan yang dimaksud bernama Ali Abul A’la, yang biasanya selalu tiba tepat waktunya di setiap liqo’ (pertemuan), tetapi suatu ketika terlambat setengah jam. Al-Banna tertanya-tanya, mengapa Ali sampai terlambat? Tentunya akhi Ali tidak mahu berterus terang, tetapi setelah didesak, dia mengaku bahwa dia telah menjual motosikalnya di pasar untuk memenuhi target pembangunan Darul Ikhwan. Sedangkan jarak pasar dan tempat liqo’ cukuplah jauh.

Demikianlah, dari Darul Ikhwan, dibangunkan masjid. Di sekitar masjid, didirikan madrasah untuk ikhwan, kemudian untuk akhawat Ikhwan, sejak pada waktu itu, mula menyebarkan prinsip Islam, bahawa Islam itu merupakan “pegangan dan negara, perlembagaan dan perjuangan, serta satu cara hidup”. Prinsip ini merupakan asing bagi kebanyakan cendekiawan muslim pada masa itu, yang percaya Islam hanya terbatas kepada dinding-dinding masjid sahaja. Al-Banna menyeru kepada penolakan semua fahaman Barat, menekankan agar kembali kepada asas dan ajaran Islam sebenar.

Melalui Ikhwan, al-Banna telah melakukan yang lebih baik daripada pemikir-pemikir lain pada masa itu.Al-Banna berikhtiar untuk membawa perubahan yang beliau harapkan melalui pembinaan institusi dan aktiviti berterusan di peringkat akar umbi. Dalam usaha menempatkan Ikhwan dalam masyarakat, al-Banna memanfaatkan sepenuhnya "social network" yang telah wujud, terutamanya yang terbina di antara masjid dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain yang berorientasikan kebajikan. Hubungan yang rapat ini telah diadaptasikan hingga menjadi satu struktur moden, yang menyumbang kepada kejayaan al-Banna. Diletakkan secara langsung di bawah organisasi Ikhwan ialah perniagaan, klinik dan sekolah-sekolah.Selain itu, setiap ahli digabungkan ke dalam organisasi melalui unit-unit kecil yang dipanggil usrah (keluarga).

PERKEMBANGAN IKHWANUL MUSLIMIN

Pada tahun 1933, di atas kemahuannya sendiri, al-Banna dipindahkan ke Kaherah, di mana beliau turut memindahkan pusat gerakannya. Sejak dari saat itu, Ikhwan telah berkembang dengan pesat dan Kaherah menjadi pusat da’wah. Faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan mendadak ini ialah organisasi dan ideologi kepimpinan yang diterapkan oleh al-Banna.Pada 1934, Ikhwan telah membuka lebih daripada 50 cawangan di Mesir. Pada hujung 1930an, Ikhwan telah mempunyai cawangan di setiap daerah di Mesir. Ikhwan menubuhkan banyak sekolah, masjid dan kilang. Beliau menerbitkan akhbar harian di Kaherah yang diberi nama “al-Ikhwan al-Muslimoon” yang membolehkan beliau berda’wah dengan lebih meluas, berbanding dengan syarahan. Selepas 1938, Ikhwan mula menampakkan menampakkan luarannya yang bercorak politik. Ikhwan menggesa ke arah dunia Islam yang sejati dan menolak Barat dan sekular.

Ikhwanul Muslimin melihat pemikiran sebeginilah yang merosakkan asas masyarakat Islam di era moden, dan menganjurkan kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada masalah dan penyakit masyarakat Islam.Pada akhir perang dunia kedua, Ikhwan telah mempunyai 500 000 ahli yang aktif dan lebih kurang 2 kali ganda penyokong (ada sumber yang mengatakan 3 juta). Akitiviti Ikhwan mula melampaui sempadan antarabangsa. Ikhwan turut berkembang dengan pesat di Jordan, Syria, Palestin, Lubnan dan Afrika Utara.

Pada awal 1950an, cawangan Ikhwan telah ditubuhkan di Syria, Sudan dan Jordan. Antara 1942-45, al-Banna banyak melawat Jordan bagi mengembangkan sayap Ikhwan di sana. Lebih daripada 2000 cawangan ditubuhkan secara keseluruhannya dan 50 di Sudan. Kemudian, pengaruh Ikhwan telah dirasai di merata tempat di dunia, di Teluk dan negara bukan Arab seperti Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.

Dalam usia yang begitu muda, al-Banna telah muncul sebagai pemimpin besar, selaku Mursyidul Am Ikhwan yang pertama. Antara yang berada di bawah pimpinannya ialah tokoh-tokoh hebat seperti

Syaikh Muhibbudin Al–Khatib (seorang ahli hadis dan tokoh Jamaah Ansharus Sunnah),
Syaikh Amien Al-Husaini (Mufti Palestin),
Syaikh Dr Mustafa As-Siba'i (ahli hukum, intelektual dan tokoh pejuang Palestin),
Syaikh Muhammad Al-Faraghy (patriot besar yang hanya mahu meninggalkan Iskandariah bila al-Banna yang menyuruhnya, bukannya British dengan segala kekuatan tentaranya).

Peningkatan yang mendadak ini mula menarik perhatian British dan anak didik mereka, iaitu ahli-ahli politik Mesir ketika itu. Mereka mendesak al-Banna untuk tidak meneruskan gerakannya, namun beliau tetap pada kedudukannya. Bahkan Richard Michael, agen CIA di Kedutaan AS di Kaherah, Mesir tampak ketakutan ketika Sirah Nabawiyah yang diajarkan al-Banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda muslim.British pernah menjemput al-Banna ke kedutaan mereka untuk jamuah teh. Beliau telah dipuji di atas personaliti dan karektornya yang baik, serta kerja-kerja kebajikan kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan janda telah diberikan tepukan yang gemuruh. British mengadakan dunia adalah terlalu fragile dan Mesir hendaklah dibina ke arah modenisasi dan kemakmuran.

British membayangkan bahawa Ikhwan perlu mendapatkan pertolongan daripada British untuk terus maju.Al-Banna mendengar dengan sabar, dan kemudian dengan berani dan tegas memberitahu duta British bahawa Mesir dan kesemua harta kekayaannya adalah milik rakyat Mesir dan masa untuk British di Mesir sudah berada di penghujung.

Syaikh Muhammad al-Faraghy – beliau memimpin jihad menentang British di sepanjang Terusan Suez pada tahun 1950-53. Dihukum mati oleh regim Gamal Abdul Nasser pada 1954

JIHAD DI PALESTIN

Apabila tragedi Palestin berlaku pada 1946, angkatan Ikhwan merupakan antara bala tentera yang aktif. Dengan semangat jihad dan cintakan syahid, angkatan Ikhwan yang serba kekurangan adalah lebih digeruni oleh bala tentera Yahudi la’natullah, berbanding tentera-tentera kerajaan Mesir, Syria dan Jordan yang cukup lengkap dengan peralatan dan latihan, tetapi kosong roh Islam dan tiada pergantungan kepada Allah. Ini adalah bukti bahawa di sana adanya pertolongan Allah yang tidak tertakluk kepada logik akal, dan juga bukti bahawa Ikhwanul Muslimin adalah Gerakan Islam yang benar dan begitu jugalah Gerakan-Gerakan Islam lainnya yang mengikuti jejak langkah Ikhwanul Muslimin.Angkatan jihad Ikhwan telah pun berjaya sampai ke pintu masuk Tel Aviv dan hampir mampu menguasainya, namun dinafikan oleh pengkhianatan oleh pemerintah-pemerintah Arab pada masa itu. Ini disebabkan mereka bimbang sekiranya Ikhwan mendapat kemenangan, pengaruh dan sokongan terhadap Ikhwan pasti akan bertambah dan sukar untuk disekat.

Untuk itu, Raja Faruk telah memenjarakan ramai ahli-ahli Ikhwan. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Noqrashi Pasha telah mengharamkan Ikhwan.Tidak lama kemudian, Perdana Menteri Mesir itu telah dibunuh dan kejadian itu dikaitkan pula dengan Ikhwan. Beberapa bulan berikutnya, segala aset Ikhwan telah dirampas dan beribu-ribu pemuda-pemudi Ikhwan telah ditangkap dan dipenjara.Pada 1948, al-Banna secara lantang mengatakan bahawa kerajaan Mesir bertanggungjawab di atas kelemahan dan kekalahan tentera Arab dalam Perang Palestin I melawan Yahudi. Akhirnya, al-Banna telah diusir ke bahagian utara Mesir pada tahun 1948.

SYAHIDNYA SEORANG PEJUANG

Akhirnya, satu komplot telah dirancang oleh kerajaan Mesir dan British dan dilaksanakan oleh anjing-anjing mereka untuk membunuh al-Banna. Pada 12 Februari 1949, pada hari yang cerah di sebuah pasar di Kaherah, al-Banna telah ditembak oleh agen kerajaan di hadapan bangunan Persatuan Pemuda Islam. Selepas beliau dibawa ke hospital, beliau telah dibiarkan terlantar di atas lantai dengan darah yang masih mengalir tanpa adanya bantuan dari sesiapa pun untuk menyelamatkan beliau. Dua jam selepas beliau ditembak, beliau meninggal dunia menuju Ilahi. Tiada seorang pun telah dibawa ke muka pengadilan di atas kejadian tersebut.Al-Banna hanya berusia 43 tahun pada ketika itu. Anak perempuan bongsunya juga dilahirkan pada hari yang sama. Ibunya telah menamakannya ‘Ishtisyhad’ iaitu kesyahidan (martyrdom).Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Allah SWT tidak membiarkan perjuangan al-Banna berkubur begitu sahaja lantaran umur dunianya yang begitu singkat. Benih-benih Islam dan kader-kader pejuang hasil tarbiyyah al-Banna tanpa penat lelah telah meneruskan perjuangan al-Banna. Al-Banna sendiri lebih suka “mengumpul orang daripada mengumpulkan maklumat ke dalam buku”, dan dengan itu beliau telah membina organisasi Ikhwan dan menyediakan panduan-panduan bagi membolehkan Ikhwan tetap hidup, walaupun tanpa kehadirannya. Hanya sedikit penulisan-penulisan yang dihasilkannya kerana kebanyakkan masanya dihabiskan untuk pentarbiyyahan. Antara bukunya yang terpenting ialah “Warkah Kepada Pelajar Muslim”, di mana al-Banna menerangkan prinsip-prinsip Gerakan Islam.

SUMBER KEKUATAN DAN SIKAP AL-BANNA

Antara sumber kekuatan al-Banna ialah semangat untuk berdakwah yang luar biasa, yakin dan puas dengan berdakwah, memberikan dedikasi tertinggi dalam dakwah dengan segala kemampuan dan instrumen yang dimiliki. Semua ini merupakan syarat pokok dan karakter fundamental bagi da'i dan pemimpin. Di tangan mereka inilah Allah mengalirkan kebaikan yang sangat banyak.

Kedua, pengaruh yang sangat dalam terhadap sahabat dan murid-muridnya, serta kejayaan yang cemerlang dalam tarbiyyah dan kaderisasi. Beliau pembangun generasi, pentarbiyah bangsa, pemangku madrasah yang sarat dengan ilmiah, fikriyah dan khuluqiyah. Beliau menjadi simbol dan karakter yang senantiasa hidup, bila dan dimana pun kadernya berada.

Ketiga, hubungan yang rapat dengan Allah SWT. Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Umar at-Tilmisani, pengikut al-Banna yang akhirnya menjadi Mursyidul Am Ketiga Ikhwanul Muslimun. “Pada waktu itu kami sedang melakukan pertemuan di luar kota. Selesai kerja-kerja tersebut kira-kira pukul 12 malam. Kami semua sangat lelah kerana semangat dan kesungguhan kami dalam kerja. Kebetulan kami mendapat bilik yang sama (al-Banna dan Umar at-Tilmissani satu bilik). Saya sudah sangat penat sekali, dan ingin terus tidur, agar esok tidak terlambat bangun solat subuh. Kami berbaring di tempat tidur masing-masing. Tidak beberapa lama beliau memanggilku, "Umar, sudah tidur ?". Aku jawab, "Labbaika, belum Mursyid.". Beliau tidak berkata apa-apa lagi. Tak beberapa lama kemudian, beliau bertanya lagi hal yang sama, "Umar, kamu sudah tidur ?". Aku jawab, "Labbaika, belum Mursyid".Aku dalam hati bertanya-tanya mengapa beliau melakukan hal ini. Lama beliau terdiam, tiba-tiba beliau memanggil lagi. Karena aku sudah sangat penat, akhirnya aku tidak menjawab, biar disangka beliau aku sudah tidur lelap. Aku sudah sangat penat sekali. Mengira aku sudah tidur, tiba-tiba beliau bangun perlahan-lahan, berjalan sambil memegang kasutnya, menuju bilik mandi. Di dalam blik mandi kudengar beliau dengan sangat hati-hati berwudhu', agar percikan airnya jangan sampai membangunkanku. Kemudian kulihat beliau mengambil tempat di sudut bilik, menghadap kiblat, dan beliau pun solat malam (qiyamullail) beberapa rakaat. Subhanallah. Begitulah ajaran beliau yang sangat melekat di hatiku.”

Keempat, mengelakkan masalah khilafiyyah yang hanya menyeret kepada perpecahan. Sebagaimana diceritakan sendiri oleh al-Banna, “Pada suatu malam saya merasakan adanya suatu semangat yang aneh di dada peserta pengajian, iaitu semangat perpecahan. Saya menyaksikan bahwa para peserta pengajian telah mulai berkelompok dengan sesamanya, sehinggakan dalam mengambil tempat pun sendiri-sendiri. Belum sempat pengajian bermula, tiba-tiba saya dikejutkan dengan sebuah pertanyaan, "Bagaimana pendapat Ustaz mengenai tawassul?"Saya katakan kepadanya, "Wahai akhi, saya yakin bahawa engkau tidak hanya ingin bertanya tentang ini saja, kan? Engkau juga ingin bertanya tentang membaca salawat setelah azan, bacaan surah al-Kahfi pada hari Juma'at, kata sayyidina untuk Rasulullah SAW dalam doa tasyahud, tentang bacaan Al-Qur'an, apakah pahalanya sampai kepada mayat atau tidak, juga tentang halaqoh-halaqoh yang diadakan oleh ahli tarekat, apakah hal itu merupakan bentuk kemaksiatan ataukah taqarrub kepada Allah." Saya sengaja mengungkapkan kepada mereka tentang berbagai masalah khilafiyah yang menjadi sebab terjadinya fitnah dan perselisihan keras di antara mereka. Ia pun hairan terhadap apa yang baru saya kemukakan. Dia menjawab, "Ya, benar. Saya memang ingin jawapan mengenai itu semua."Saya katakan kepadanya, "Wahai Akhi, saya ini bukan ulama. Saya hanyalah seorang guru biasa yang hafal sebahagian dari ayat-ayat Al-Qur'an, sebahagian hadis Nabi, serta sebahagian dari hukum-hukum agama yang kubaca dari beberapa kitab, lalu saya berupaya mengajarkannya kepada orang lain. Jika engkau membawaku keluar dari lingkup ini, berarti engkau telah membuatku mengalami kesulitan. Siapa yang menjawab tidak tahu, sebenarnya ia telah berfatwa. Oleh kerananya, jika apa yang akan saya katakan dapat memuaskanmu, itulah yang saya inginkan dan silakan dengar. Namun jika engkau menginginkan jawapan dan pengetahuan yang lebih luas, maka tanyakanlah kepada selainku. Tanyakan kepada para ulama yang ahli. Merekalah yang mampu memberikan fatwa kepadamu mengenai apa yang engkau inginkan itu. Adapun saya, hanya inilah keilmuan yang kumiliki. Allah tidak membebani seorang hamba melainkan setakat kesanggupannya."Saya sengaja mengambil cara seperti ini untuk memudahkan sahaja, sekalipun sebenarnya saya tahu bahawa si penanya itu tidak memperolehi suatu jawapan. Para hadirin, atau paling tidak sebahagian besar dari mereka, merasa lega dengan penyelesaian seperti ini. Namun saya juga tidak ingin kehilangan kesempatan. Karena itulah saya katakan kepada mereka, "Wahai ikhwan sekalian, saya sebenarnya tahu betul bahawa di balik pertanyaan saudara penanya tadi, dan banyak dari kalian, hanya ingin mengetahui tentang guru kalian yang baru ini (al-Banna); termasuk kelompok mana? Apakah saya masuk dalam kelompok Syaikh Musa ataukah kelompok Syaikh Sami? (2 golongan Islam yang besar pada waktu itu). Pengetahuan kalian tentang hal ini sama sekali tidak akan membawa manfaat bagi kalian. Kalian sudah tenggelam dalam iklim fitnah selama lapan tahun. Itu sudah cukup. Masalah-masalah seperti ini sebenarnya telah diperselisihkan oleh kaum muslimin selama ratusan tahun lamanya dan mereka masih saja berselisih. Meskipun demikian, Allah SWT tetap redha apabila kita saling mencintai dan saling menjalin perpaduan. Allah SWT benci apabila kita berselisih dan berpecah belah. Oleh karena itu, saya berharap agar kalian berjanji kepada Allah untuk dapat meninggalkan persoalan-persoalan seperti ini mulai sekarang. Lalu kita bersungguh-sungguh untuk bersama-sama mempelajari dasar-dasar agama dan kaedah-kaedahnya, mengamalkan ajaran-ajaran agama secara umum dan yang kita sepakati bersama, serta kita amalkan kewajipan-kewajipan dan sunnah-sunnahnya sekaligus. Kita tinggalkan sikap takalluf (mengada-ada) dan ta'ammuq (terlalu dalam menyelami persoalan) agar jiwa kita dapat jernih.

Tujuan kita hanyalah mengetahui kebenaran, bukan sekadar memenangkan suatu pendapat. Kalau sudah begitu, kita semua secara bersama-sama berupaya mempelajari berbagai persoalan ini dalam naungan rasa cinta, saling percaya, persatuan, dan keikhlasan. Saya berharap agar kalian dapat menerima pendapatku ini dan agar hal ini menjadi suatu janji di antara kita.Saya bertanya kepada mereka, "Siapa di antara kalian yang bermazhab Hanafi, ke mari!" Salah seorang dari mereka maju. Saya bertanya lagi, "Siapa di anatara kalian yang bermazhab Syafi'i?" Salah seorang dari mereka maju. Saya katakan kepada mereka, "Saya akan solat sebagai imam bagi kedua akhi kita ini. Apa yang akan engkau lakukan tatkala saya sedang membaca al-Fatihah, wahai akhi yang bermazhab Hanafi ?" "Saya akan diam saja dan tidak membaca apa-apa!” jawabnya. "Akhi yang bermazhab Syafi'i, apa yang engkau lakukan?” tanyaku. Ia menjawab, "Saya tetap harus membaca al-Fatihah!" Saya bertanya lagi, "Jika kita telah selesai menunaikan solat, bagaimana pendapatmu, wahai akhi yang bermazhab Syafi'i, tentang shalat saudaramu yang bermazhab Hanafi ini?" Ia menjawab, "Solatnya batal, karena tidak membaca al-Fatihah, karena al-Fatihah merupakan salah satu rukun solat!”Saya lantas bertanya kepada yang lain, "Lalu bagaimana pendapatmu, wahai akhi yang bermazhab Hanafi, tentang solat saudaramu yang bermazhab Syafi'i ini?" Ia menjawab, "Ia telah melakukan tindakan makruh yang bersifat haram (makruh tahrim)!" Saya bertanya lagi, "Apakah salah seorang dari kalian berdua mengingkari yang lain?" Keduanya menjawab, "Tidak!" Saya bertanya pula kepada hadirin, "Apakah kalian semua mengingkari salah satu dari kedua akhi kalian ini?" Mereka menjawab, "Tidak!" Maka saya pun berkata, "Aduhai, Maha Suci Allah. Kalian lebih baik diam dan memaklumi permasalahan seperti ini, daripada mempertikaikan sah atau batalnya solat dalam tasyahudnya mengucapkan: Allahumma shalli 'ala Muhammad atau Allahumma shalli 'ala sayyidina Muhammad,atau perlunya menggerak-gerakkan jari semasa tasyahud, dan kalian jadikan hal ini sebagai perselisihan yang tak kunjung habis."


IKHWAN SELEPAS AL-BANNA

Pada tahun 1950, Ikhwan dibolehkan semula untuk bergerak, namun hanya sebagai pertubuhan agama. Hassan al-Hudaibi telah dipilih sebagai Mursyidul Am Ikhwan yang kedua. Dengan munculnya regim yang baru di Mesir pada 1952 dan Mesir diketuai oleh Presiden Gamal Abdul Nasser, Ikhwan terpaksa bergerak secara ‘bawah tanah’ dan diharamkan semula kerana mendesak perlaksanaan undang-undang syari’ah, dan menentang undang-undang sekular. Tuduhan cubaan untuk membunuh Gamal Abdul Nasser di Iskandariah pada 23 Oktober 1954, telah menyebabkan Ikhwan berada di bawah tekanan yang hebat. Enam pemimpin utamanya telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman kerana menderhaka, dan ramai lagi telah dipenjara.Pada tahun 1966, pemimpin-pemimpin utama Ikhwan telah dijatuhkan hukuman mati (seperti Sayyid Qutb) atau penjara seumur hidup, serta beribu-ribu lagi pemuda-pemudi Ikhwan dipenjarakan.

Pada 1970, pengganti Gamal, Anwar Sadat (bekas ahli Ikhwan – pengkhianat), menjanjikan perlaksanaan syari’ah (yang tidak pernah ditunaikan) dan membebaskan ramai ahli-ahli Ikhwan. Namun Ikhwan tidak dibenarkan menyertai pilihanraya pada tahun 1974, menyebabkan Ikhwan bertanding sebagai calon bebas. Mereka memenangi 15 kerusi.Pada September 1981, sekali lagi ahli-ahli Ikhwan ditangkap. Hampir 2000 orang dipenjara, kerana menentang perjanjian damai Camp David antara Mesir dan Israel. Anwar Sadat akhirnya dibunuh pada 6 Oktober 1981.

Pada tahun 1980an, Ikhwan telah mengalami pembaharuan, selaras dengan semangat keIslaman yang meluap-luap di negara-negara Islam. Pelapis-pelapis baru Ikhwan mempunyai matlamat untuk menyusun masyarakat dan pemerintahan menurut ajaran Islam sebenar, dan mereka mempunyai semangat anti-Barat yang tebal. Kebangkitan Ikhwan di Bandar Hamah, Syria pada Februari 1982 telah dijatuhkan oleh kerajaan Hafiz al-Assad dengan kematian beribu-ribu nyawa. Ikhwan telah bangkit di Mesir dan Jordan pada masa yang sama, dan bermula pada akhir 1980an, Ikhwan muncul untuk bertanding secara sah dalam pilihanraya di negara-negara tersebut.

FIKRAH IKHWAN

Sesuatu pertubuhan yang dikatakan Gerakan Islam hendaklah mendukung ajaran Islam yang syumul. Sekiranya hanya bertujuan untuk satu-satu tujuan sahaja, seperti da’wah semata-mata, ia bukanlah sebuah Gerakan Islam. Ikhwanul Muslimin, sebagai Gerakan Islam, mencakupi :

i. Da'wah Salafiah

Kerana mereka menda'wahkan agar Islam dikembalikan kepada sumbernya yang suci iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya

ii. Tariqat Sunniah

Kerana mereka mewajibkan menjalankan sunnah Rasulullah SAW yang suci dalam semua hal, terutama dalam bidang aqidah dan ibadah, selama mereka mampu melakukannya

iii. Hakikat Sufiah

Kerana mereka memahami, bahwa asas kebaikan adalah kebersihan jiwa, kesucian hati, istiqamah dalam beramal, menjauhi keduniaan, kasih sayang karena Allah dan selalu terikat dengan kebaikan

iv. Haiah siasiah (Pertubuhan Politik)

Kerana mereka menuntut agar dilakukan perbaikan terhadap hukum pemerintahan dalam negeri. Sedangkan mengenai hubungan luar negeri, mereka menuntut agar pemerintah mengubah pandangannya terhadap masalah hubungan kaum muslimin dengan ummat Islam lainnya. Mereka juga menuntut agar bangsa muslim dididik dengan penuh 'izzah'(kebanggaan) dan kemuliaan diri dan seboleh mungkin memperhatikan golongan ummat Islam

v. Jama'ah Riyadhiah (Kumpulan Jasmani)

Kerana mereka sangat memperhatikan keadaan jasmani mereka. Mereka memahami bahawa mukmin yang kuat itu lebih baik dari mukmin yang lemah. Mereka mengetahui bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: 'Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu'.
Mereka juga mengetahui bahwa semua beban Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan benar kecuali dengan tubuh yang kuat. Solat, puasa, haji dan zakat memerlukan badan yang mampu menahan lelah. Demikian pula halnya dengan berusaha dan berjuang mencari rezeki. Dengan alasan inilah, mereka sangat memperhatikan fizikalnya dan sentiasa menjalani latihan jasmani, seperti tamrin dan kem.

vi. Rabithah ilmiyah tsaqafiyah (Ikatan ilmiyyah)

Kerana Islam telah memerintahkan bahawa menuntut ilmu wajib atas setiap muslim dan muslimah. Dan pada hakikatnya kelompok-kelompok Ikhwan merupakan sekolah-sekolah dan usrah-usrah yang bertujuan belajar dan mencari ilmu pengetahuan. Di samping itu, juga sebagai akademi-akademi pendidikan jasmani, akal dan ruh.

vii. Syirkah Iqtishadiyah (Usaha-Usaha Ekonomi)

Sebab Islam memperhatikan hal perolehan harta dan penggunaannya. Seperti yang dinyatakan Rasulullah SAW : "Harta yang paling nikmat adalah harta yang baik yang dipegang oleh seorang yang soleh'.

Selanjutnya beliau bersabda: 'Barang siapa yang hidup sampai petang bekerja dengan tangannya, dia akan berada dalam keampunan".

Sabdanya lagi: 'Sesungguhnya Allah mengasihi Mu'min yang punya pekerjaan"

viii. Fikrah Kemasyarakatan

Kerana mereka memperhatikan penyakit-penyakit masyarakat Islam, dan berusaha mencari jalan penyembuhan ummat dari penyakit tersebut





SAMA2LAH KITA JADIKAN KISAH HASSAN AL BANNA SERTA PERJUANGANNYA SEBAGAI PEDOMAN DLM PERJUANGAN KITA UTK MENEGAKAN KALIMAH TAUHID, SERTA MUHASABAH DIRI KNP ISLAM DAN PERJUANGAN KITA TIDAK SAMPAI KPD MATLAMAT DAN KEMENANGAN.
BEGITU BERBEZA DARI SEGI AMAL DAN AKHLAK IBARAT LANGIT DAN BUMI.
YA ALLAH YA TUHAN KU AMPUNILAH DOSA2 KAMI YG SEDAR ATAU YG KAMI LAKUKAN TANPA SENGAJA.. AMIN.....


INSHALLAH AKAN TIBA MASANYA NANTI UTK ISLAM YG KITA SAYANGI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

anda boleh komen atau memberi pendapat atau idea tentang blog ini.apa2 cadangan dari anda kami hargai