ADAB USRAH
1. Ikhlas. Ikhlas
hanya kepada Allah seperti firman-Nya, maksudnya:
Dan tidaklah mereka tiadalah disuruh, melainkan supaya menyembah Allah, serta
mengikhlaskan agama bagi-Nya, beribadat mengharapkan keredaan-Nya) sambil
cenderung kepada tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat dan memberikan
zakat dan itulah agama yang lurus (betul). (Al-Bayyinah, 98:5) Sabda
Rasulullah salallahu alaihi wassalam, maksudnya: Hanya
segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia
niatkan. (Mutaffaqun'alaih)
2. Meminta izin masuk. Meminta izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasuki rumah anggota atau tempat diadakan majlis usrah. Firman Allah Taala, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu, sehingga kamu minta izin dan mengucapkan salam (selamat) kepada yang empunyanya. Demikian itu lebih baik bagimu, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan. (An-Nur, 24:27)
3. Menepati masa. Datang ke majlis tepat pada waktu yang ditetapkan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jikalau dia berdusta, jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau diamanahkan dia khianat. (Mutaffaqun'alaih).
4. Suci. Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta sempurna. Maksudnya: Dari Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Bersuci itu separuh daripada keimanan. (Muslim) Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, maksudnya: Dari Usman bin Affan r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berwuduk lalu memperbagus wuduknya (menyempurnakan sesempurna mungkin) maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya. (Muslim) Perkara ini diperlakukan supaya senang untuk mendirikan solat, mudah apabila memegang al-Qur'an dan ayat-ayatnya dalam teks usrah, dan terjauh daripada gangguan syaitan serta dapat berbincang tanpa dipengaruhinya.
5. Beritahu naqib jika tidak hadir. Jika ada yang tidak dapat hadir kerana uzur syarie, hendaklah segera memberitahu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya kepada sahabat yang menjadi tuan rumah. Hal ini bertujuan untuk (a) .Melatih diri bertanggungjawab dalam setiap kerja, (b) supaya naqib dan sahabat tidak tertunggu-tunggu, (c) supaya dapat mengelakkan prasangka yang tidak baik, dan (d) supaya makanan yang disediakan tuan rumah tidak berlebihan.
6. Bersedia dari segi mental dan perlakuan. Datanglah ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Maksudnya: Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Israk, 17:34) Perkara ini perlu agar majlis usrah berjalan sebagaimana yang dirancang, kita dapat berlatih menunaikan amanah yang kecil sebelum diberi amanah yang besar, dan akan menjadi pendorong dan contoh kepada sahabat yang kemudian. Kegagalan kita bebuat demikian dibimbangkan akan menjadi alasan kepada sahabat yang lain untuk tidak membuat persiapan pada masa akan datang.
7. Membawa sumber dan alat tulis. Sediakan keperluan seperti al-Qur'an, teks surah, buku-buku catatan dan al-Ma'thurat (jika perlu) . Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu sahabat yang dikongsi teksnya.
8. Mengukuhkan ukhuwah. Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat "Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini mereka itu akan Aku beri naungan pada hari ini tiada naungan melainkan naungan-Ku sendiri." (Muslim)
9. Menuntut ilmu. Berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain kecuali perkara yang rahsia. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga. (Muslim)
10. Duduk bersopan. Duduk dengan bersopan santun. Majlis usrah adalah majlis zikrullah dan dihadiri sama oleh para malaikat. Janganlah engkau layangkan pemandangan engkau kepada barang yang telah Kami beri kesukaan kepada bermacam-macam orang kafir dan janganlah engkau berdukacita terhadap mereka itu dan rendahkanlah sayap engkau kepada orang-orang yang beriman (berhina dirilah, jangan sombong). (Al Hijr, 15:88) Nota penyunting: Janganlah berlunjur. Apabila hendak beralih kedudukan, lakukan dengan sopan. Terlalu kerap mengubah cara duduk boleh mengganggu sahabat kita.
Sabda Rasullah s.a.w., maksudnya: .... Dari Abu Hurairah radiallahu anhu dan Abu Said r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada suatu kaum pun duduk-duduk sambil berzikir kepada Allah melainkan dikelilingi oleh para malaikat dan ditutupi oleh rahmat serta turunlah kepada mereka itu ketenangan di dalam hati mereka dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada di sisinya yakni disebutkan-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para Malaikat. (Muslim)
11. Fatihah dan selawat. Mulakan majlis dengan membaca al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maksud hadis: Dan daripada (Abu Hurairah) dari Nabi s.a.w. sabdanya: Tiada suatu kaum pun yang duduk di suatu majlis yang mereka tiada berzikir kepada Allah Ta'ala dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan menyeksa mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan mengampunkan mereka. (Tarmizi).
12. Menyampaikan kepada orang lain. Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahaminya, mencatat dan mengingati dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain. Maksud hadis: Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikannya. (Bukhari dan Muslim)
13. Bertanya dengan meminta izin. Memohon penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau setelah meminta izin naqib atau naqibah.
14. Mencelah apabila sangat perlu. Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti membetulkan bacaan yang silap). Jika kita mencelah, naqib atau sahabat usrah mungkin kehilangan tumpuan terhadap perkara yang sedang diperkatakan.
15. Mengawal suara. Jangan mengangkat suara tinggi lebih daripada keperluan pendengar. Ini adalah perkara yang dilarang oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Luqman, 3:19)
16. Tenang dan serius. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius. Maksud hadis: Dari Anas r.a. katanya: Nabi Muhammad s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu kerana amat menakutkan. Baginda bersabda: "Andai kata engkau semua dapat mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau semua akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Para sahabat menutupi wajah masing-masing sambil mendengar suara esakannya. (Mutaffaqun'alaih)
17. Jangan bergurau. Jangan banyak bergurau. Umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda dan gelak ketawa. Keperluan bergurau terkawal dan terhad pada perkara yang benar sahaja. Saya bergurau tetapi saya tidak berkata sesuatu kecuali kebenaran. Nota penyunting: Saya belum pasti ungkapan ini hadis atau kata-kata biasa. Jika hadis, sumber hadis ini tidak tercatat dalam teks asal. Diharap ada pembaca yang lebih mengetahui memberi respons.
18. Jangan merokok. Jangan merokok di tempat usrah. Usahakanlah agar tabiat merokok ini boleh ditinggalkan terus. Bau asap boleh mengganggu sahabat dan tuan rumah yang tidak merokok.
19. Jangan banyak soal. Jangan mempersoalkan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati syarat: Maksud hadis: Sesungguhnya binasa umat sebelum kamu kerana mereka banyak menyoal (yang tidak berfaedah) dan mereka suka menyalahi Nabi-nabi mereka. (Mutaffaqun'alaih)
20. Izin keluar majlis. Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan. Ini adalah kerana keluar dari majlis tanpa izin adalah perangai orang muafik.
Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nur 24:62)
21. Jangan bertengkar. Jangan sekali-kali bertengkar kerana ia akan merenggangkan ukhuwah sedangkan antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhuwah.
Allah berfirman, maksudnya: Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Al-Hujurat, 49:10) Firman Allah lagi, Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal, 8:46)
22. Berusaha mengenali sahabat. Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk mengenali sahabat-sahabat satu usrah.
23. Membaca tasbih kafarah. Akhiri majlis dengan membaca tasbih kafarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya. Maksud hadis: Daripada Abu Barzah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendaklah berdiri dari majlis yang ertinya: "Maha Suci Engkau ya Allah, dan saya mengucapkan puji-pujian pada-Mu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau saya mohon ampun serta bertaubat pada-Mu." Kemudian ada seorang lelaki berkata. "Ya Rasulullah! Sesungguhnya tuan mengucapkan sesuatu ucapan yang tidak pernah tuan ucapkan sebelum ini." Baginda bersabda: "Yang demikian itu adalah sebagai kafarah (penebus) daripada apa saja yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan yang ada di dalam majlis itu." (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud juga diriwayatkan oleh imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah radiallahu anha dan ia mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih isnadnya.)
24. Bersalaman. Bersalaman dan saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis. Firman Allah s.w.t., maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran, 3:134) Firman Allah s.w.t. lagi: Maksudnya: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Al-A'raf, 7:199)
25. Bersegera pulang. Terus pulang apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting. Ini adalah kerana (a) memberi peluang kepada tuan rumah untuk berkemas, dan (b) Mungkin tuan rumah letih dan hendak segera berehat atau dia ada urusan lain.
26. Menjaga rahsia jemaah. Merahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah diputuskan tentang sesuatu perkara itu sebagai rahsia atau setiap perkara yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.
Itulah
di antara adab-adab usrah yang patut menjadi amalan setiap naqib atau naqibah
dan setiap anggota usrah supaya matlamat usrah akan tercapai, insya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
anda boleh komen atau memberi pendapat atau idea tentang blog ini.apa2 cadangan dari anda kami hargai