Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau.
Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka
terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas
kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan.
Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.
Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.
Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam
Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu
dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi.
Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman,
diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman
tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas
mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan
nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.
Emosi
Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas
kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini
bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik
tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya
secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan
keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam
sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.
Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam
yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan
(al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti
yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka
dianggap infallible (maksum)
yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan
kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan
yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka
sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan
terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.
Kekeliruan
Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan
kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah.
Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin
tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya
desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.
Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai
cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman,
Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama
dengan kebencian dan kemarahan
‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah
kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka.
Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung
antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan
disebarkan seluas-luasnya.
Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin
‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan
keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah
menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu
tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui
kebenaran musuh politik mereka.
Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan
fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui
kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan
kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai
tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi
s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman
politik seperti itu.
Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada
setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh
al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes
kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak
mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan
diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada
golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa
sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja
dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah).
Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah
(memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun
menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini
kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath
al-‘Arabi).
Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan
politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak
terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat
yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah,
berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan
kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah
‘Uthman.
Antaranya Uthman berkata:
“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku
adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun
sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk
menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan
memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku
tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri.
Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga
untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau
cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini.
Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.
Riwayat
Sejarah
Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman
dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah
makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina
‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina
Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang
bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu
sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung
kepada perawi (narrator).
Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin
Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa
al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah
Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu
sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang
sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana
beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang
dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh
al-Tabari dalam mukadimahnya:
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang
sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang
menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana
dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang
hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan
datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya
kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan
kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).
Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku.
Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca
sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah
mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada
kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti,
agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui
keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat:
6).
Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza
dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri
daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para
sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang
menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal
Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku
antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan
tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok
tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn
Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).
Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka
berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama
yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang
akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah
buku berjudul Pertelingkahan
Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah.
Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.
Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan
sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita
lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan
lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan
mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang
lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita,
menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi
mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam
segala hal.
Sumber dari : mindarakyar.com 28/12/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
anda boleh komen atau memberi pendapat atau idea tentang blog ini.apa2 cadangan dari anda kami hargai