Isnin, 22 Disember 2014

SYIAH 2



Ini adalah penjelasan berkenaan isu Syiah yang melanda Malaysia sejurus selepas serbuan JAKIM ke atas 200 pengikut Syiah di Hauzah Ar-Ridha,Gombak.Sebelum anda membaca artikel ini,anda bolehlah membaca satu artikel berkenaan Syiah yang telah diterbitkan di dalam MF.Mendepani isu Syiah,tidak boleh tidak mesti bercakap tentang sejarah.Ini kerana Syiah muncul dari golongan munafik yang berselindung di dalam Islam ketika zaman Rasulullah s.a.w,muncul dan membunuh para Khalifah yang bertegas kepada golongan murtad dan munafik,kemudian mempergunakan nama baik Saidina Ali r.a untuk menghalalkan satu mazhab baru:Mazhab para bidaah dan fasiq,berakar tunjang dari kaum majusi Parsi.

Dalam soal perpaduan umat Islam,kita boleh menerima mereka sebagai 'Islam' selagi mereka mengamalkan 5 rukun Islam (baca:Islam pada nama) tetapi dari sudut akidah dan pegangan sunnah Rasulullah s.a.w,kita hendaklah menjauhi mereka,kerana mereka gemarkan bidaah hasil dari hadis palsu dan penyelewengan sejarah.

Artikel ini menjawab satu-persatu kenyataan Ustaz Kamil Zuhairi,selaku ketua masyarakat Syiah Malaysia dalam satu wawancara oleh HijrahTV.


-M.O





Pengikut Imam Ja'fari


Mengikut Ustaz Kamil,Syiah yang dianutnya dipanggil Syiah Ja'fari,mengambil nama sempena Ja'far As-Sadiq,tuan guru kepada Imam Malik bin Anas dan tuan guru kepada imam mazhab yang empat (mazhab fekah Ahli Sunnah Wal Jamaah).

Jawapan:

Sebenarnya Imam Ja'far sendiri berlepas diri dari Syiah yang bencikan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Diriwayatkan oleh Abdul Jabbar bin Al Abbas Al Hamdzani bahwa Ja`far bin Muhammad mendatangi mereka ketika mereka hendak meninggalkan Madinah, dia (Ja'far As-Sadiq) berkata,

Sesungguhnya kalian insya Allah adalah termasuk orang-orang soleh di negeri kalian, maka sampaikanlah kepada mereka ucapanku, `Barangsiapa mengira bahwa aku adalah IMAM MAKSUM yang wajib ditaati maka aku benar-benar tidak ada sangkutpaut dengannya. Dan barangsiapa mengira bahwa aku berlepas diri dari Abu Bakar dan Umar maka aku berlepas diri daripadanya`. (Syiar `A`lam An Nubala : 259).

Ingat,kata-kata ini dari Imam Ja'far As-Sadiq.Salah satu tabiat Syiah ialah sukakan label-label.Syiah Rafidhah,Syiah Imam 12 dan Syiah Ja'fari adalah entiti yang sama,dan bersepakat dalam hal ini:

1-Tidak mengiktiraf Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah,sebaliknya mengangkat Saidina Ali r.a.
2-Memandang serong,menghina dan mencerca para sahabat Nabi.

Syiah suka mengaitkan mereka dengan keluarga nabi (baca:Ahli Bait) dan menganggap umat Islam (baca:ahli Sunnah wal Jamaah) sebagai pembenci keluarga nabi atau tidak menghiraukan keluarga nabi.Padahal umat Islam amat mencintai keluarga nabi.Bagi Syiah,mencintai keluarga nabi adalah HAK mereka.

Imam Ja'far sendiri berlepas diri dari orang yang berlepas diri (tidak menyukai) dari Abu Bakar dan Umar (kedua sahabat ini paling dibenci Syiah kerana tegas melawan golongan murtad dan munafik ketika menjadi khalifah),bagaimana Syiah boleh merendah-rendahkan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar,sahabat nabi yang dijamin syurga oleh nabi sendiri?Imam Ja'far sendiri mencintai Abu Bakar r.a dan Umar r.a:
Muhammad bin Fudhail menceritakan dari Salim bin Abu Hafshah, Saya bertanya kepada Abu Ja`far dan puteranya, Ja`far, tentang Abu Bakar dan Umar. Maka dia berkata, `Wahai Salim cintailah keduanya dan berlepas diri musuh-musuhnya kerana keduanya adalah imam huda.` Kemudian Ja`far berkata, `Hai Salim apakah ada orang yang mencela datuknya? Abu Bakar adalah datukku. Aku tidak akan mendapatkan syafaat Muhammad Shallallahu `alaihi wasallam pada hari kiamat jika aku tidak mencintai keduanya dan memusuhi musuh-musuhnya.` Ucapan Imam Ja'far seperti ini dia ucapkan dihadapan bapanya, Imam Muhammad bin Ali Al Baqir dan dia tidak mengingkarinya. (Tarikh Al Islam 6/46)


Sejarah

Ustaz Kamil berkata:

"...sedangkan Sunnah,Syiah ini kembali kepada sejarah.Dan kedua-duanya bersaudara.Kedua-duanya Islam.Yang satu...berpegang kepada sahabat-sahabat nabi...ahli Sunnah wal Jamaah.Yang satu berpegang kepada sahabat nabi dan keluarga nabi...(Syiah).

Jawapan:

Kali ini kata-kata Ustaz Kamil ini benar kerana sememangnya perbezaan Syiah dan Sunnah (baca:umat Islam) adalah kerana FAKTOR SEJARAH,bukan KEBENARAN.Daripada faktor sejarah inilah,para ulama Syiah memutarbelitkan sejarah dan mengarang hadis-hadis palsu.

Namun ahli Sunnah tidak semata-mata berpegang kepada sahabat-sahabat nabi.Jawapan yang tepat ialah,ahli Sunnah berpegang kepada Allah dan Rasul-Nya.Kemudian barulah kepada para sahabat dan keluarga nabi.Sebenarnya perlukah disebut dengan jelas 'keluarga nabi'?Tentulah tidak perlu kerana sudah tentu orang Islam berpegang kepada keluarga nabi sebagai ikutan.Syiah terpaksa menampal label 'keluarga nabi' dan menegaskan berkali-kali supaya cuba menunjukkan mereka sahaja yang sayangkan keluarga nabi,yang selain mereka tidak.


Syiatihi/Syiatuhu

Ustaz Kamil mendakwa di zaman Rasulullah lagi menyebut mereka ini sebagai Syiah...

Jawapan:

Orang-orang Syiah gemarkan label-label.Apa jua perkataan yang ada bau-bau 'Syiah' samaada 'Syiatihi' atau seumpamanya,dijumpai dalam hadis atau ayat Quran,maka didakwanya merujuk kepada golongan mereka,golongan pengamal ajaran bidaah dan fasiq.Padahal perkataan 'Syiah' bukanlah sesuatu yang eksklusif;ia adalah perkataan bahasa Arab biasa yang bermaksud golongan/pengikut.Anehnya bila ada hadis yang menggunakan perkataan 'Syiah' itu kepada golongan yang negatif seperti para pengikut Dajjal yang bersembunyi dibalik pokok atau batu dalam riwayat Ahmad dalam Musnad,tiada pula mereka berkokok mahu mengaku merekalah golongan itu.


Siapakah keluarga Nabi?

Ustaz Kamil telah menyempitkan makna keluarga nabi (Ahli Bait) kepada Fatimah Az-Zahra,Ali r.a dan kedua anak mereka Hassan dan Hussein.


Jawapan:

Ini salah,kerana di dalam AlQuran telah dijelaskan dalam surah AlAhzab ayat 28 hingga 33 bahawa istilah asal Ahli Bait adalah khas untuk isteri-isteri nabi,dalam konteks ayat ini,isteri Nabi Muhammad s.a.w.Satu lagi contoh ayat al-Qur’an yang menggunakan istilah Ahl al-Bait ketika merujuk kepada isteri nabi ialah kepada isteri Nabi Ibrahim ‘alaihi salam.

Isteri (Nabi Ibrahim) berkata: Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan.

Malaikat-malaikat itu berkata: Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai Ahl al-Bait. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya. [Hud 11:72-73]

Syiah suka menggunakan apa yang dipanggil Hadis Kisa,iaitu hadis yang kononnya mengeluarkan isteri-isteri nabi dari istilah Ahli Bait.Padahal hadis inilah yang menguatkan kedudukan isteri-isteri nabi sebagai pemegang 'title' asal Ahli Bait.

Hadis ini menyebut:
"Umm Salamah radhiallahu ‘anha berkata:
Diturunkan ayat ini kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya [al-Ahzab 33:33] di dalam rumah Umm Salamah.
Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil Fathimah, Hasan dan Husain dan menyelimuti mereka dengan kain (Kisa’) manakala ‘Ali berada di belakangnya, lalu diselimuti juga dengan kain.
Kemudian Nabi berdoa: “Ya Allah ! mereka adalah Ahl al-Bait aku maka hilangkanlah dosa dari mereka dan bersihkanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.”
Berkata Umm Salamah: “Dan aku bersama mereka wahai Nabi Allah?” Rasulullah menjawab: “Engkau tetap pada kedudukan engkau dan engkau selalu dalam kebaikan.”

Ulasan:

Syiah selalu menggunakan ayat ini untuk mengatakan bahawa Ahli Bait ialah Fatimah,Ali dan kedua anak mereka.Dan berhujah bahawa Ummu Salamah seolah-olah ditolak dari golongan Ahli Bait dengan diisyaratkan oleh tindakan Nabi menolak beliau dari diselimuti kain.

PERKARA SEBENARNYA YANG TERJADI ialah Nabi s.a.w mengetahui bahawa ayat AlAhzab 28-33 itu khas ditujukan kepada isteri-isteri baginda maka baginda berharap bahawa Fatimah,Fatimah,Ali dan kedua anak mereka termasuk dalam golongan Ahli Bait.Sebab itu Nabi s.a.w sampai berdoa:

“Ya Allah ! mereka adalah Ahl al-Bait aku maka hilangkanlah dosa dari mereka dan bersihkanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.”

Lantas bertindak menyelimuti mereka.Apabila Ummu Salamah ingin turut serta,Nabi berkata:“Engkau tetap pada kedudukan engkau dan engkau selalu dalam kebaikan.” merujuk kepada Ummu Salamah sebagai isteri Nabi TETAP PADA KEDUDUKAN SEBAGAI AHLI BAIT.

Jika Nabi s.a.w sudah tahu ayat ini ditujukan kepada Fatimah,Ali dan kedua anak mereka,tidak payahlah Nabi s.a.w bersusah-payah mendoakan mereka lantas mengambil selimut menyelimuti mereka.Kemungkinan,yang sebaliknya berlaku;Nabi mengumpulkan isteri-isteri baginda,mendoakan mereka lantas menyelimuti mereka.

Bayangkan,Nabi juga punya anak-anak yang lain seperti Ruqayyah,Zainab,Ummi Kalthum dan lain-lain tetapi yang menjadi Ahli Bait hanya Fatimah Az-Zahra?Pelik Bin Ajaib.


Hadis Ghadir Khum

Dalam video ini juga Ustaz Kamil juga menyentuh tentang perbezaan antara Syiah dan Sunnah.Apa bezanya?

Perbezaannya menurut Ustaz Kamil ialah jawatan Khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w sepatutnya dipegang oleh Saidina Ali r.a.Ini keyakinan Syiah.

Syiah menegaskan premis ini menggunakan hadis yang dikenali sebagai hadis Ghadir Khum yang diseleweng maksudnya.

Kita lihat apakah hadis Ghadir Khum itu:

Hadith Ghadir Khum telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim.Ia bersumber dari hadith sahabat Zaid Ibn Arqam r.anhu.Ia telah diriwayatkan dalam Kitab Fadhail (Kelebihan) Para Sahabat dalam Bab Kelebihan Saidina 'Ali r.anhum ajma'in (no 2408).{Takmilah Fath al-Mulhim Syarah Sahih Muslim,jil 5,ms 59,edisi Dar al-Qalam}.

Zaid Ibn Arqam r.anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah berkhutbah pada suatu hari di satu mata air (ghadir) yang bernama Khum yang terletak antara Makkah dan Madinah.Baginda Rasul SAW telah memuji Allah SWT,memberi peringatan dan nasihat dan kemudiannya Rasulullah SAW telah bersabda : " Wahai manusia,aku adalah manusia dan aku merasakan bahawa telah hampir waktu untuk datangnya utusan Tuhanku (malaikat maut untuk mencabut nyawa Baginda SAW).Aku tinggalkan pada kamu semua thaqalain (2 perkara yang besar).Yang pertama ialah Kitabullah.Di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya.Maka berpeganglah dengan Kitabullah." Selepas itu,Rasulullah SAW telah menyampaikan saranan secara tegas dan bersungguh-sungguh agar berpegang teguh dengan Kitabullah.Kemudian Rasulullah SAW telah bersabda," Aku memperingat kalian terhadap ahli keluargaku.Aku memperingatkan kalian terhadap ahli keluargaku.Aku memperingatkan kalian terhadap ahli keluargaku."

Murid kepada Zaid Ibn Arqam r.anhu iaitu Hushain r.alaih telah bertanya tentang siapakah ahli bait Rasulullah SAW.Kata beliau, " Bukankah para isteri Rasulullah SAW adalah ahli bait Baginda?"

Maka Zaid Ibn Arqam telah menjawab, " Isteri Rasulullah SAW adalah ahli bait Baginda Rasulullah SAW.Dan yang dimaksudkan dengan ahli bait di sini ialah mereka-mereka yang diharamkan menerima sedekah iaitu ahli keluarga Ali,'Aqil,Ja'far dan Abbas r.anhum."{Hadith yang panjang ini telah diringkaskan dan terjemahan adalah berdasarkan makna,bukannya lafaz}.

Inilah hadith yang berkaitan dengan Ghadir Khum.Ia juga dikenali sebagai hadith thaqailain (Kitabullah dan Ahli Bait).

Dalam riwayat Imam Tirmizi (no 4046),Ahmad (no 19302) dan lain-lain,ada dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

"Barangsiapa yang aku adalah pemimpinnya,maka Ali adalah pemimpinnya"

Dalam sesetengah riwayat ada diriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda :

"Ya Allah,jadilah pemimpin bagi sesiapa yang mengangkat Ali sebagai pemimpin dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya"

{penomboran hadith adalah berdasarkan edisi Syaikh Syuaib al-Arnauth dan rujukan-rujukan lain boleh ditemui dalam nota kaki tahqiq Syaikh Syuaib}

Para ulama' hadith telah berselisih pendapat tentang dua versi riwayat di atas.Sebahagian kecil para ulama' hadith menghukum hadith tersebut sebagai hasan atau sahih (boleh diterima pakai).Dan majoriti para ulama' hadith yang pakar dalam kecacatan hadith menghukumnya sebagai dhaif dan tidak boleh dipakai dan dijadikan hujjah apatah lagi jika ia melibatkan persoalan akidah dan syariat.


Ulasan:

Hadith Ghadir Khum yang bersumber dari riwayat Zaid Ibn Arqam adalah ringkas.

Dalam riwayat yang lain yang juga terdapat dalam kitab-kitab Syiah,dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah menghantar Ali ke Yaman untuk mengutip 1/5 harta rampasan perang yang pada masa itu,pasukan tentera Islam dipimpin oleh Khalid al-Walid.

Secara ringkasnya,telah berlaku perselisihan faham antara Ali dan beberapa orang sahabat r.anhum dalam beberapa isu seperti isu wanita tawanan perang (sabiyy) yang akhirnya telah menyebabkan ketegangan di kalangan mereka.

Semasa perjalanan pulang Rasulullah SAW dari Makkah,mereka telah bertemu di satu tempat yang bernama Ghadir Khum.Oleh kerana keadaan menjadi tegang,maka Rasulullah SAW telah berkhutbah di kalangan para sahabat dan menyatakan kelebihan Ali r.anhu,serta mengingatkan bahawa Ali r.a adalah keluarganya dan perlu menghormatinya sebagaimana menghormati baginda.

Tiada perkara yang pelik dalam hadith tersebut.Namun kerana akal pengikut agama Syiah yang telah rosak,maka semuanya menjadi pelik dan bermasalah.

Jika difahami kenyataan Rasulullah SAW di atas secara sihat dan waras,maka sebenarnya tiada sebarang masalah akan timbul.

Ini kerana,Saidina Ali adalah utusan Rasulullah SAW ke Yaman.Maka mentaati Saidina Ali r.a adalah wajib seperti mentaati Rasulullah SAW.Dan ini bukan pertama kali Rasulullah SAW memerintahkan agar ditaati wakil Baginda Rasul.Jika begitu,adakah setiap wakil yang dihantar baginda Rasul dan diwasiatkan agar ditaati perintahnya,maka mereka juga berhak menjadi Imam Ma'sum dan menjadi Khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW?Sememangnya Syiah memang suka mereka-reka cerita karut.

KESAN

Dari penyelewengan hadis ini,maka para Syiah berusaha mencari-cari kesalahan peribadi Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk membuktikan bahawa beliau tidak layak menjadi khalifah dan bersalah kerana kononnya 'tidak mematuhi' hadis Ghadir Khum.Aktiviti mencari-cari kesalahan berakhir dengan mencaci-maki sahabat utama Rasulullah s.a.w ini,menuduhnya dengan pelbagai maksiat dan keburukan sifat serta ada yang sampai mengkafirkan beliau.


Hadis 12 Khalifah

Dalam wawancara ini juga Ustaz Kamil ada menyebut tentang satu hadis dari Rasulullah s.a.w tentang 12 orang khalifah sesudahnya.Anehnya,ustaz Syiah ini mendakwa 'khalifah' itu merujuk kepada imam-imam mereka.Ini amat salah dari segi sejarah kerana hanya seorang Imam mereka sahaja yang berjaya jadi khalifah iaitu Saidina Ali r.a.

Kita rujuk hadis ini (terdapat beberapa lagi riwayat dengan maksud yang sama):
Daripada Jabir bin Samurah r.a. katanya, “Aku pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan ayahku bersamaku, lalu aku mendengar Baginda bersabda, “Agama ini akan terus mulia dan teguh sehingga ke dua belas orang khalifah, lalu Baginda berkata dengan kalimah yang orang ramai tidak mendengarnya, maka aku berkata kepada ayahku, “Apakah yang Baginda katakan? Ayahku menjawab, “Semua mereka dari Quraisy”.(Riwayat Muslim)

Ulasan:

Golongan Syi’ah mengatakan dua belas khalifah atau amir yang terdapat di dalam hadith tersebut adalah dua belas imam maksum di sisi mereka. Ulama-ulama AHLUS SUNNAH menolak pegangan mereka dengan beberapa alasan. Antaranya adalah:
Di dalam hadith tersebut Nabi s.a.w. menggunakan kalimah amir atau khalifah dan tidak ada satupun riwayat yang menyebutkan kalimah imam dengan mufrad atau aimmah dengan lafaz jama’. Kalau dipandang kepada kalimah sahajapun ianya sama sekali tidak menepati imam-imam Syi’ah kerana kalimah amir atau khalifah digunakan kepada pemerintah.Sedangkan di kalangan imam-imam Syi’ah hanya seorang orang sahaja yang menjadi pemerintah.


Syair Imam Syafie

Ustaz Kamil Zuhairi juga menggunakan Syair Imam Syafie dengan tujuan seolah-olah Imam Syafie meredhai Syiah.

Ini adalah kata-kata Imam Syafie yang amat popular digunakan oleh Syiah Melayu hatta simpatisan Syiah seperti penulis tersohor Malaysia,Dr. Faisal Tehrani.

Syiah Melayu sering menggunakan hujah ini,

"Jika cinta kepada keluarga Muhammad adalah Rafidhah,maka saksikanlah jin dan manusia aku adalah Rafidhi"

Ini adalah kata-kata atau syair dari Imam Syafie.Syiah Rafidhah menyelewengkannya kepada hadis yang kononnya dinukil oleh Imam Syafie.

Motif Syiah Melayu ini adalah untuk mendakwa bahawa Imam Syafie sendiri meredhai Rafidhah.Sebenarnya,hujah ini menikam mereka sendiri,kerana Imam Syafie BUKAN mengiktiraf dirinya sebagai syiah,tetapi maksud kata-katanya ialah: MEMPERTIKAIKAN BAHAWA RAFIDHAH (SYIAH) CINTA PADA AHLI BAIT.

Hanya mereka yang tidak memahami uslub Bahasa Arab yang mengatakan Syafie mengaku Rafidhah/Syiah.Orang yang belajar Bahasa Arab boleh bandingkan uslub Syafie dengan uslub Quran ini:

Firman Allah s.w.t:

"Katakanlah (Wahai Muhammad) Kalaulah Tuhan al-Rahman mempunyai anak, maka akulah yang mula-mula memuliakannya".

(Al-Zukhruf: 81)

Ayat ini bukan menunjukkan Nabi memuliakan anak Tuhan, tetapi MENAFIKAN TUHAN ADA ANAK.

Sama dengan syair Imam Syafie, bukan mengaku sebagai Rafidhah (Syiah) tetapi MENAFIKAN RAFIDHAH CINTA AHLI BAIT.Dengan kata lain,Imam Syafie memperli dakwaan golongan Rafidhah yang kononnya cintakan Ahli Bait.

Ini ditegaskan oleh Imam Syafie sendiri:

"Aku tidak pernah melihat orang yang lebih dusta penyaksiannya daripada Rafidhah". (Siyar A'lam Nubala)

Jika Syiah Melayu menggunakan hujah ini,pada masa yang sama dia juga mengaku berfahaman Rafidhah.Maka kita boleh tahu dia adalah Syiah pelampau dari kalangan Imamiyyah.Perangkap yang dia beri nampaknya bukan sahaja memakan diri malah membogelkannya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.


KESIMPULAN

Syiah Melayu (juga Syiah yang lain) berusaha untuk 'mengislamkan' diri sendiri dengan mendapatkan restu umat Islam.Antaranya dengan menggunakan isu Palestin.Sikap kita sebagai umat Islam,untuk menghadapi musuh Islam yang lain seperti Zionis,adalah strategik untuk merelakan Syiah ini untuk berganding bahu menentang Yahudi Zionis dan kuncu-kuncunya.Tetapi untuk meraikan segala bidaah dan kefasiqan mereka,tidak sama sekali.

Sekali lagi ditegaskan dalam hal ini,Syiah Imamiyah adalah saudara SeIslam selagi mereka amalkan 5 rukun Islam (baca:Islam pada nama)

Namun yang membezakan Syiah Imamiyah dengan umat Islam yang ikut cara Nabi s.a.w ialah...
Mereka bermazhab ahli bidaah dan fasiq.

Bidaah:suka mereka-reka benda yang tidak ada dalam agama Islam

Fasiq:mempertahankan bidaah,mencerca sahabat dan isteri nabi (terutamanya Aishah r.a),mengarang hadis palsu,menyeleweng hadis,menyeleweng sejarah/sirah dan sebagainya.


TINDAKAN

Sebagai umat Islam,kita perlu merapati mereka dan mengajak mereka kembali ke jalan Nabi s.a.w.Tindakan serbuan yang memalukan mereka seperti yang dilakukan oleh JAKIM adalah kurang bijak.Ini menyebabkan mereka semakin benci dengan umat Islam (baca:Ahli Sunnah wal Jamaah).Tindakan meraikan segala bidaah mereka seperti yang dilakukan oleh Dr. Faisal Tehrani juga tindakan yang bukan sahaja kurang bijak malahan pelik bin ajaib.Ini samalah seperti kita meraikan perayaan Thaipusam dan menceritakan keagungan patung-patung Hindu atau meraikan upacara sami-sami Buddha memuja Amitabbha (jelmaan Buddha).Tindakan ini bukan menyatukan umat Islam malah mendatang fitnah kepada dirinya serta dosa kerana bersekongkol dengan segala kefasiqan mereka.

Tindakan beliau juga samalah seperti menceritakan segala kehebatan dunia Amerika dan Eropah,teknologi mereka yang hebat-hebat dan bertanya,mengapa mereka berjaya dan maju?(Amerika lebih berkaliganda maju dari Iran).Kemudian Dr. Faisal menunjukkan salib dan patung Jesus kemudian menyuruh umat Islam menangisi penyaliban Jesus dengan alasan,menangisi Jesus sebagai salah seorang nabi membawa kebaikan,sebagai contoh.

Sebab itu,kita sepatutnya membawa mereka ke jalan kebenaran BUKAN MERAIKAN mereka sehingga seronok bermain-main di jalan bidaah.

Hujah-hujah Syiah Melayu tidak akan lari dari apa yang disebut di atas.Jika mereka terdesak,mereka akan gunakan plan B,taqiyyah.Kemudian mereka akan hadirkan berpuluh-puluh hadis palsu dan penyelewengan hadis.


SIAPA YANG SELALU KENA TIPU?

Orang yang kurang didikan agama,pelajar-pelajar,kanak-kanak mentah,orang dewasa namun berfikiran seperti mumaiyiz,orang yang tidak suka mengkaji dan orang terlalu banyak mengkaji tetapi tenggelam dalam hasil kajiannya (Baca:Dr. Faisal Tehrani)




nota:anda boleh menghantar komen tentang isu ini dalam ruangan komen ini sahaja.Komen-komen lain seperti berkenaan ATBM,anda boleh hantar dalam artikel Srikandi yang terbaru.

Jaminan: Kepada Syiah Melayu yang ingin berbincang secara ilmiah,jangan risau,komen anda tidak akan ghaib secara tiba-tiba.Mahu pakai anonymous pun boleh.Islam mengajar kita musyawarah.Bukan berat sebelah :D


SYIAH


Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau. Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan.

Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.

Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.

Emosi
Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.
Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum) yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.

Kekeliruan
Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.
Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka. Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.

Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.
Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.
Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah ‘Uthman.
Antaranya Uthman berkata:
“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.





Riwayat Sejarah
Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina ‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).
Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam mukadimahnya:
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).
Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).
Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).




Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah buku berjudul Pertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.

Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal.













Sumber dari : mindarakyar.com 28/12/2010

PENYERI JALANAN


RENUNGAN MASA HADAPAN



KETUHANAN

RAHSIA

Bagaimana hendak ku serahkan
zat rahsiaku kepada-Mu?
ini adalah persoalan besar.

Engkau ucapkan:
katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku.

Rahsia adalah rahsia
mana boleh diterka
hanya daku perlu meyakini
ia adalah urusan Tuhanku
mengapa aku cuba memikul urusan Tuhan
serahkan hak Tuhan kepada Tuhan..

Wahai Tuhanku
Engkau mengetahui zat rahsiaku
daku sendiri tidak mengetahuinya
tanpa pengetahuanku tentangnya
daku serahkannya kepada Mu
terimalah, terimalah, terimalah
daku tidak hairan
bagaimana Engkau menerima zat rahsiaku
kerana Engkau yang paling rahsia
Pemilik segala rahsia.