SEBAGAI RENUNGAN KITA BERSAMA, PERUBAHAN ADALAH YANG TERBAIK.
Ummat Islam mengikut ta'arif Allah S.W T adalah
sebaik-baik ummat yang dilahirkan di antara ummat manusia kerana mereka
sentiasa berjihad menegakkan Al-Maaruf dan di waktu yang sama juga mereka
mencegah yang mungkar.
Mereka adalah contoh yang terbaik dan pilihan kerana
mereka yakin akan wujudnya Allah S.W.T dan percaya sepenuhnya kepada
janji-janji Allah, mereka beriman kepada Allah S.W.T dan iman itu ditunjukkan
dengan taat dan takwa kepada Allah S.W.T pada setiap saat dalam kehidupan
mereka, mahupun apabila mereka sesama mereka ataupun mereka keseorangan diri.
Mereka sedar bahawa belum lagi betul-betul dinamai Iman
jika belum mendorong dirinya untuk bekerja keras, menerus dengan kerja-kerja
Islam (Amal Islami) dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang lain
belum lagi merasai kemanisan dan menikmati cara hidup Islam.
Sesungguhnya tepatlah sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud:
“Iman
itu bukanlah angan-angan dan bukan pula perhiasan tetapi Iman itu adalah
sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.”
Itulah ummat yang terdahulu yang mendapat didikan Iman
dari Madrasah Rasulullah S.A.W yang mana sumber didikan mereka hanya senya
Al-Quran, menilai Rabbani yang sentiasa mendidik dan membetuli mereka dan
setiap aktiviti mereka di dalam kehidupan samada dalam bentuk fikiran, tindakan
dan amalan.
Di sana
masih ada perbezaan yang jauh antara ummat Islam kini dan jenerasi Al-Quran
yang pertama dahulu yang mana di dalam jiwa mereka terdapat Iman yang bergelora,
menyala, cermat dan waspada.
Sebaliknya Ummat Islam kini mereka mempunyai Iman yang
bisu, mandul, tidur nyenyak dalam jiwa dan mereka tidak mematuhi hukum dan
tuntutan Iman itu sendiri.
KEADAAN
DAN MASALAH YANG SAMA
Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada
di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama saja. Keadaan Ummat Islam yang
sebenarnya telah menyerah kalah kepada pemikiran-pemikiran dan cara hidup yang
menggunakan akal fikiran sebagai inti wahyu Illahi. Tiada penafian dalam hal
ini kerana masyarakat Islam telah begitu lama dijajah (tanah air dan fikiran)
telah jauh dari hakikat hidup dari kacamata Islam. Perhambaan diri mereka tidak
hanya senya pada Allah S.W.T semata-mata sedangkan mereka mengucap dua kalimah
Syahadah, mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan Zakat dan menunaikan
Haji di Baitullah.
Apabila kita meninjau ke seluruh pelusuk alam ini,
nescaya kita dapat melihat keadaan sebenar Ummat Islam pada hari ini. Ratusan
ummat-ummat Islam tidak lagi digeruni oleh musuh-musuh mereka, malah ummat
Islam dipermain-mainkan sesuka hati oleh angkatan Jahiliah yang diketuai oleh
Syaitan, ummat Islam seolah-olah dibius, jiwa mereka rendah, peribadi mereka
juga rendah serta natijah mereka juga dipandang rendah. Kemanakah hilangnya
tradisi kegemilangan, kekuatan Islam yang pada satu ketika dulu tradisi telah
dapat menarik penganut-penganut cara hidup yang bukan Islam kepada cara hidup
Islam.
Wujudnya situasi yang sebegini rupa adalah kerana
ummat Islam sendiri telah jahil akan tujuan sebenarnya Islam itu diturunkan
kepada seluruh ummat manusia. Ummat Islam kini tidak tahu menghargai Pimpinan
Illahi dan merasa rendah dikira apabila menyebut Islam. Ummat Islam pada hari
ini tidak boleh lagi dipanggil sebagai ummat Islam, Islam itu tetap ada tetapi
ummatnya adalah umpama jasad tanpa nyawa, sebenarnya mereka juga sendiri
daripada angkatan jahiliah kerana:
1)
Tidak beriman sebenarnya dengan Allah S.W.T
Nampak jahiliah itu dalam bermacam-macam keadaan,
tindakan dan aktiviti. Mereka tidak menyerah semua urusan hidup mereka kepada
Allah S.W.T. Iman yang sebenarnya ialah dengan menjadikan hanya Allah sahaja
sebagai Illah. Perintah dan undang-undang Allah sahaja yang diterima dan
dipatuh. Jika tidak, maka uluhiyyatillah kita masih tidak sempurna.
2)
Mengikut Hawa Nafsu
Jahiliah dengan hawa nafsu adalah seiringan.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Jaatsiyah (45) ayat
18 yang bermaksud:
“Kemudian
kami jadikan kamu berada di atas Syariat (peraturan) dari urusan (Deen) itu,
maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang
yang tidak mengetahui”
Sekiranya hawa nafsu menghukum walaupun pengikut
syariat Allah S.W.T maka masih dikira jahiliah. Hakikat hawa nafsu menghukum
ialah ianya berbeza mengikut keadaan dan masa.
3)
Mengikut Thaghut
Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 257 yang
bermaksud:
“Allah
pelindung bagi orang-orang yang beriman,Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan
(kekafiran) kepada cahaya (Iman) .Dan orang-orang kafir pelindung-pelindung mereka
ialah thaghut,yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.Mereka
itu adalah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya”
Dalam surah Annisa' (4) ayat 76 Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud:
“Orang
-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan Orang yang kafir berperang di
jalan thaghut, sebab itu perangilah kuncu-kuncu syaitan itu kerana sesungguhnya
tipu daya syaitan itu adalah lemah.”
Orang-orang yang beriman kepada Allah berjuang dan
berperang kerana Allah S.W.T, tetapi orang-orang Jahiliah berjuang
bermati-matian untuk mengikut perintah thaghut.
SIFAT-SIFAT
MEREKA YANG HIDUP UNTUK ISLAM
Berbeza dengan sifat-sifat yang tersebut di
atas,sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam sepatutnya:
a) Benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam, Iman
dan amal mereka yang selaras, tidak menyuruh orang berbuat baik tanpa dirinya
sendiri berbuat baik dan tidak memperkatakan sesuatu yang tidak dilakukannya.
b) Mengutamakan kepentingan Islam walau di mana sahaja
mereka berada. Musuh-musuh Islam tidak dapat meresap masuk dan mengganggu-gugat
dengan apa cara sekalipun.
c) Merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin
kepada Allah. Tidak merasa lemah dan dukacita dengan mehnah dan fitnah yang
berada di hadapan mereka.
d) sentiasa bekerja untuk Islam bersama-sama dengan
Aktivis-aktivis (mujahid-mujahid) Islam yang lain dalam berdakwah kepada Allah,
menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka sentiasa bersama
Jamaah Ummah dan patuh kepada kehendak dan pimpinan Jamaah tersebut.
SISTEM
WAHYU
Sekiranya Iman merupakan penyelamat dan tenaga
penggerak kepada pembangunan kepada generasi Al-Quran yang terdahulu maka Iman
itu juga yang menjadi penyelamat dan tenaga penggerak kepada jenerasi ummat
yang terkemudian. Dan generasi yang terdahulu telah mengambil Al-Quran untuk
mencipta Tamadun..... generasi sekarang mesti mengambil Al-Quran untuk menempah
semula tamadun tersebut.
Generasi Al-Quran yang pertama dahulu apabila mereka
bertindak melakukan sesuatu, dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi mereka
tidak pernah malah takut untuk mendahulukan Allah dan RasulNya. Mereka sentiasa
menunggu saranan dan teguran wahyu.... dan apabila ditanzilkan wahyu kepada
mereka tanpa persoalan lagi mereka terus melaksanakan kehendak wahyu tersebut
samada dalam bentuk suruhan ataupun tegahan bagaikan askar-askar yang menurut
perintah ketua mereka.
Oleh itu kita dalam setiap gerak kerja kita mestilah
merujuk terlebih dahulu kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dan bersesuaian dengan
waki' (realiti) serta ikhlas tanpa ada sedikitpun matlamat duniawi.
Sepatutnya sejarah Tanzil (turun) nya Al-Quran itu
menjadi contoh kepada kita dewasa ini. Ia ditanzilkan secara
munajjaman(beransur-ansur). Hal ini adalah mengikut fitrah manusia itu sendiri,
kalau dulu Al-Quran itu mendidik dan berjinak-jinak dengan jiwa-jiwa generasi
sahabat secara munajjaman iaitu mengikut perkembangan pemikiran dan sosial
mereka, semestinyalah kita mengikutnya demikian juga. Dengan ini bukanlah
bererti yang kita tidak perlu menjalankan undang-undang dan peraturan Allah di
muka bumi ini disebabkan kita bermula dengan iman tetapi undang-undang Allah
telah lengkap dan mesti dipatuhi sepenuhnya. Apa yang kita maksudkan dengan
munajjaman di sini ialah khusus dalam pendidikan jiwa kita.
Mungkin ada sebahagian orang akan merasakan proses ini
tidak perlu lagi pada zaman yang serba canggih ini, sedarilah dan insafilah
bahawa untuk bersemadinya Iman di dalam hati kita dan dapat melahirkan natijah
yang positif sangatlah perlu kita kembali kepada satu proses pendidikan semula
setiap jiwa-jiwa muslimin yang ikhlas kepada Islam.
Kita tegaskan di sini, bahawa Islam bukan sekadar
Risalah tetapi ianya juga merupakan Manhaj(cara), sunnah dan perjalanan
Rasulullah S.A.W adalah sebaik-baik manhaj, sunnah itu adalah Haq dan Haq itu
adalah daripada Allah Azza Wajjalla.
Proses pendidikan semula itu perlulah menurut satu
persatu landasan yang telah dilalui oleh Muhamad Rasulullah S.A.W dan jenerasi
sahabat dahulu. Matlamat hidup perlulah diperbetulkan semula, kesungguhan dan keikhlasan
kepada proses itu sendiri perlulah ada pada setiap jiwa yang ingin mengikuti
proses pendidikan semula Islam itu, jika tidak natijahnya akan bersimpang-siur.
MASA
DEPAN DUNIA ADALAH UNTUK ISLAM
Di kalangan ummat Islam yang telah dibius itu telah
ada yang sedar, bangun dan mengejutkan saudaranya yang lain. Seorang demi
seorang bangun dan bersatu di bawah panji-panji Aqidah Islam. Seluruh dunia
sekarang ini sedang menghadapi pergolakan yang dicetuskan oleh mujahid-mujahid
ini. Bagi yang mahu kepada kebenaran mereka menyambut baik akan perkembangan
ini, tetapi bagi mereka yang menyintai kekufuran, kezaliman, penyelewengan dan
kemaksiatan, insiden ini amatlah tidak disenangi dan mereka cuba sedaya upaya
mereka samada secara diplomasi atau kuku besi sekalipun untuk melenyapkan
cahaya ini.
Kita bersikap optimis bahawa, masa depan dunia adalah
untuk Islam memandangkan kepada keadaan masyarakat dewasa ini yang mana
sistem-sistem pembikinan manusia yang dipaksakan kepada mereka jelas tidak
mampu untuk menyelamatkan manusia dari segala bentuk bahaya dan kezaliman yang
sedang berjalan walau atas nama apa sekalipun tetapi amat dibenci oleh
masyarakat terbanyak.
Optimisnya kita bukanlah bererti kita boleh berpeluk
tubuh, memerhatikan keadaan dan menunggu natijahnya tetapi ianya menuntut
kepada usaha, tenaga, Ilmu, kedudukan, keikhlasan dari kita yang beriman kepada
Allah dengan yang sebenarnya.
Oleh itu, perbetulkan Aqidah kita agar Iman kita
betul, dengan itu nanti akan benarlah segala amalan kita, Insya-Allah.
PENUTUP
Menyedari bahawa Islam sudah tidak lagi dipraktikkan
dalam kehidupan masyarakat kerana ketandusan Iman, berkepentingan peribadi
serta jahil, maka program-program yang positif perlu diambil untuk membetulkan
keadaan tersebut.
Abul A'la Al Maududi menyarankan supaya diajak manusia
supaya kembali beriman kepada rukun-rukun Iman dengan sebenarnya, membersihkan
diri dari segala bentuk kepercayaan tahyul, khurafat dan bid'ah dan membentuk
serta membangunkan semula konsep kefahaman Islam yang sebenarnya di kalangan
masyarakat.
Inilah
jalan yang sah dan betul yang telah dilakukan oleh Harakah Islamiyyah melalui
susunan tarbiahnya yang rapi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
anda boleh komen atau memberi pendapat atau idea tentang blog ini.apa2 cadangan dari anda kami hargai