Isnin, 24 Jun 2013

PELIHARALAH LIDAH DARI DOSA-DOSA......





Allah swt telah mengurniakan kepada hamba-hambaNya pelbagai nikmat yang antara tujuannya adalah untuk menguji manusia. Antara nikmat itu ialah lidah. Sebagai seorang mukmin, kita seharusnya memelihara lidah daripada berkata sesuatu yang boleh membawa kemudaratan kerana sesungguhnya tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu untuk membawa kemusnahan dan kerosakan kepada makhlukNya yang lain.
Allah tidak mengasihi perkataan yang jahat yang keluar dari mulut seseorang iaitu mengeluarkan kata-kata keji dan kesat, mengumpat, mencela orang dan sebagainya. Sesungguhnya benarlah kata orang, lidah itu lebih tajam daripada mata pedang kerana perbuatan sedemikian merupakan bibit-bibit permusuhan, perpecahan, perkelahian, pembunuhan dan seumpamanya.
Firman Allah swt dalam surah An-Nisa’ ayat 48: “Allah tidak mengasihi perkataan buruk yang diucapkan dengan terus terang, kecuali (bagi) oleh yang dizalimi. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
            Kita juga haruslah belajar menjaga pertuturan dan tindakan. Antaranya kita haruslah menjauhi perbuatan ghibah dan fitnah yang merupakan dosa besar. Melakukan dosa samada dosa kecil atau dosa besar umpama menempah tiket ke neraka. Ghibah ialah sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain. Diriwayatkan dari Abu Sa’id dan Jabir keduanya berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Ghibah itu lebih hebat daripada zina”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa ghibah lebih hebat daripada zina?”. Baginda bersabda, “Sesungguhnya seseorang apabila berzina lalu bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya. Adapun orang yang melakukan ghibah tidak akan diampuni oleh Allah hingga diampuni oleh orang yang ia ghibah”(Hadis riwayat Baihaqi).
            Peliharalah lidah kita daripada menabur fitnah dan mengatakan sesuatu yang keji kerana sesunggahnya kebanyakan kemudaratan dan kemusnahan yang berlaku di muka bumi ini disebabkan oleh lidah manusia yang tidak terjaga. Nikmat lidah yang dikurniakan mestilah digunakan dengan baik dan sentiasalah ingat akan azab Allah swt yang pedih terhadap hamba-hambanya yang menyalahgunakan nikmat yang Allah berikan ke arah kemaksiatan dan kemungkaran serta menyakiti saudaranya. Sepatutnya, kita yang telah dikurniakan akal menggunakan nikmat lidah ini ke arah kebaikan seperti berzikir, membaca al-Quran, menasihati dan mengajak manusia kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
            Kita sewajarnya menjaga lidah kita dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya
maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang. Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas si empunya diri. Antaranya yang bermaksud: “ Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya”. (Hadis Riwayat Tirmizi). Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud:  Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji”. (Hadis riwayat Tirmizi). Sabdanya lagi yang bermaksud: “ Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya” (Diriwayatkan oleh Baihaqi).
            “Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu supaya mereka mengatakan perkataan yang terbaik. Sesungguhnya syaitan menghasut antara mereka. Sesungguhnya syaitan musuh yang nyata bagi manusia”(al-Isra’:53). Justeru itu, janganlah kita mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa menghasut manusia ke arah kemungkaran dan kemaksiatan. Sentiasalah berusaha memperbaiki amal soleh dan menjaga tingkah laku kita agar kita tidak dihumbankan ke dalam neraka yang azabnya amat pedih dan menyeksakan. Sentiasalah ingat kepada azab Allah terhadap mereka yang tidak menjaga lidah mereka, semoga dengan ini, kita akan lebih gerund dan takut serta berusaha sebaik mungkin menjaga lidah kita daripada menagtakan sesuatu yang tidak perlu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

anda boleh komen atau memberi pendapat atau idea tentang blog ini.apa2 cadangan dari anda kami hargai